Sunday, 5, May, 2024
Utama Sukan Eksplorasi kayak 30km uji pelajar UiTM Perlis

Eksplorasi kayak 30km uji pelajar UiTM Perlis

oleh Ammar Haziq

KUALA LETIL – Seramai 45 orang pelajar dari UiTM Cawangan Perlis terdiri daripada para pelajar kokurikulum kursus Kesatria Kembara 3 berjaya menganjurkan program Eksplorasi Kayak dan Keluarga Angkat bersama penduduk Felda Teloi Kanan, Kuala Ketil, di sini.


Eksplorasi berkayak telah bermula dari Kampung Berona, Sik, Kedah menuju ke Felda Teloi Kanan dengan melibatkan 40 orang pendayung dari kalangan pelajar UiTM Cawangan Perlis.


Pengarah program, Mohd Adib Zuhair Roslee berkata, majlis pelepasan telah disempurnakan oleh Pengerusi Kampung Berona, Mohd Tarmizi Puteh.


Menurutnya, eksplorasi dengan jarak kira-kira 30 kilometer (km) ini turut dibantu dan dipantau oleh anggota penyelamat dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kedah dan Emergency Response Team dari Institut Kemahiran Mara (IKM) Sik, Kedah.


“Objektif program itu adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar tentang penganjuran program bersama komuniti luar sekaligus mempraktikkan kemahiran yang telah dipelajari sepanjang semester pengajian di dalam kursus kokurikulum Kesatria Kembara.


“Tambahan pula, melalui program ini juga ianya dapat mengukuhkan hubungan dan interaksi sosial diantara pelajar sebagai generasi muda bersama komuniti setempat serta menyuburkan sifat menghormati dan menyayangi antara satu-sama lain,” katanya.


Tambahnya, pelbagai aktiviti dan modul telah dirangka untuk dijalankan bersama penduduk Felda Teloi Kanan bagi mengeratkan lagi hubungan diantara pelajar bersama komuniti seperti contoh program anak angkat yang melibatkan 7 buah keluarga peneroka felda.


Menurutnya lagi, golongan belia felda juga turut berpeluang untuk mempelajari dan mengenali lebih lanjut berkaitan sukan rekreasi kayak melalui pengisian secara praktikal dalam program ini.


“Dikalangan kanak-kanak mereka turut dihidangkan dengan pelbagai aktiviti berbentuk fizikal dan sukaneka yang turut memberikan lagi keceriaan sekaligus terpahatnya kenangan yang manis buat para pelajar UiTM Cawangan Perlis bersama warga Felda Teloi Kanan” ujar beliau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com