Monday, 29, April, 2024
Utama Sukan Perlawanan Malaysia-Oman kekal di Bukit Jalil

Perlawanan Malaysia-Oman kekal di Bukit Jalil

oleh Ammar Haziq

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan perlawanan keempat Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Malaysia menentang Oman pada Selasa, 26 Mac depan kekal berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dan Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Dato’ Hans Isaac bersama-sama ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon serta barisan kejurulatihannya telah melakukan lawatan bagi meninjau keadaan terkini padang di stadium berkenaan pada Khamis.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, hasil pemeriksaan dan penilaian pada lawatan tersebut telah mendapati bahawa persediaan padang adalah mengikut jadual dan kondisi rumputnya dijamin berada pada tahap yang terbaik untuk aksi menentang Oman.

“Dengan pengesahan venue tersebut, tiket bagi perlawanan Malaysia lwn Oman itu akan mula dijual secara dalam talian di www.tickethotline.com.my pada Sabtu, 9 Mac 2024 dengan harga tiket bagi semua kategori dikekalkan iaitu sama seperti perlawanan pertama Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz, November lalu.

“Bagi kategori tiket Terbuka, harga ditetapkan pada RM40 untuk dewasa dan RM5 kanak-kanak bawah 12 tahun; RM60 bagi tiket Grandstand dan RM80 bagi tiket Premium,” katanya.

Skuad Harimau Malaya akan memulakan kem latihan pusat di Wisma FAM, hari ini bagi persiapan menghadapi perlawanan ketiga Kumpulan D menentang Oman di Sultan Qaboos Sports Complex, Muscat pada 21 Mac, sebelum terbang pulang ke tanah air bagi perlawanan keempat di Bukit Jalil pada 26 Mac 2024.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com