Saturday, 27, April, 2024
Utama Negeri KEDA fokus tiga agenda capai matlamat Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 

KEDA fokus tiga agenda capai matlamat Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) memberi fokus kepada tiga agenda menerusi program-program KEDA bagi mencapai matlamat Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024).

Pengurus Besarnya, Ismasuhaimi Shariff berkata, KEDA menyambut baik usaha kerajaan memperkasakan semula agenda ekonomi bumiputera dalam kementerian, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Menurutnya, KEDA menyahut saranan kerajaan ini dengan memberi fokus kepada tiga agenda iaitu pembangunan TVET, usahawan dan pemilikan rumah.

“KEDA sedang giat menyelaras program-program bagi memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui Kolej KEDA di Sik, Kedah.

“Bagi memperkasakan TVET di Kolej KEDA, kerjasama strategik sedang diperkukuhkan bersama institusi awam, swasta dan pihak industri dalam membentuk sinergi pembangunan tenaga kerja berkemahiran,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas  Majlis Perjumpaan Pengurus Besar bersama Warga KEDA di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, di sini.

Beliau berkata, menerusi Kolej KEDA, program lain yang berpontensi untuk dibangunkan iaitu Tahfiz TVET@Kolej KEDA yang telah dijalankan bermula tahun 2022 dengan jumlah pelajar sehingga kini 72 orang dan 9 Pusat Tahfiz di sekitar negeri Kedah.

Pada tahun ini, dengan peruntukan dari Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebanyak 175,000, 80 orang tahfiz dijangka akan memulakan pengajian TVET.

Sementara itu, bagi agenda pemerkasaan usahawan pula, tahun ini, KEDA telah menerima peruntukkan sebanyak RM2.8518 juta melibatkan 3 projek.

KEDA dalam perancangan untuk menyasarkan produk usahawan KEDA ke peringkat antarabangsa dengan membawa aspirasi Desa to Global cetusan idea Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas beliau, menerusi agenda pemilikan rumah pula, jumlah geran yang telah diserahkan keseluruhannya ialah 1,515 keping dan dijangka akan diserahkan tahun ini sebanyak 348 keping.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com