Sunday, 28, April, 2024
Utama Sukan Kedah lancar kempen ‘Keep the hope alive’ , seru penyokong beli t-shirt eksklusif

Kedah lancar kempen ‘Keep the hope alive’ , seru penyokong beli t-shirt eksklusif

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Kedah Darul Aman (KDA) FC melancarkan kempen dengan slogan ‘Keep the hope alive’ dalam usaha membantu kelangsungan kewangan kelab pada musim 2024-2025.

Pemilik majoritinya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, kempen tersebut meniup semangat kebangkitan bukan hanya dari prestasi kelab dan pasukan, tetapi mengajak semua peminat di luar sana untuk membantu.

Menurutnya, apa sahaja saluran yang termampu akan digunakan dalam memastikan harapan untuk terus bersaing dalam Liga Malaysia dapat diteruskan.

“Kempen dengan slogan ‘keep the hope alive’ bertujuan untuk menyeru semua pihak berkepentingan termasuk pihak industri bola sepak, pihak swasta, media dan terutamanya peminat dan penyokong untuk bersama-sama KDA FC dalam menyumbang secara langsung atau tidak langsung.

“Peminat dan penyokong boleh membantu kelab yang penuh tradisi bola sepak di Malaysia ini dengan pembelian pra-tempahan T-shirt edisi terhad.

“Peminat yang membeli T-shirt ketika semboyan untuk sokongan ini dilaungkan, akan dimeterai nama mereka di dalam rekod kekal kelab, sebagai antara penyokong tegarnya,” katanya pada Rabu.

Mohd Daud menyeru kepada semua penyokong Kedah Darul Aman FC untuk sama-sama menghidupkan cita-cita dan emosi lagu kita ‘Biar Jasa Jadi Kenangan’.

Menurutnya, kelab ini amat memerlukan anda ketika ini, kerana hanya kita yang dapat menentukan keadaan di rumah kita sendiri.

“Bangun dan pertahankan rumah anda sekarang. Anda boleh membantu untuk menyuntik semangat kepada kelab bola sepak anda, Kelab Darul Aman FC dengan memperolehi T-shirt secara pra-tempahan di store.kedahdarulamanfc.com dalam masa terdekat,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com