Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri Pelajar UUM muncul Pendebat Terbaik Keseluruhan

Pelajar UUM muncul Pendebat Terbaik Keseluruhan

oleh Ammar Haziq

SHAH ALAM: Pendebat Universiti Utara Malaysia, Faris Daniel Rizal Zainorizal, 20, diumumkan sebagai Pendebat Terbaik Keseluruhan Kategori Bahasa Melayu (Muda) dalam Pertandingan Debat Diraja Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Edisi Ke-24, semalam.

Kemenangan itu melayakkan beliau membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM500 dan piala.

Menurut Faris Daniel, dia tidak sama sekali menjangkakan untuk merangkul Anugerah Pendebat Terbaik Keseluruhan bagi kategori tersebut memandangkan dia berhadapan dengan pesaing yang hebat-hebat.

“Saya menerima saingan kuat daripada pendebat yang mewakili universiti-universiti seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang tidak memberi jalan mudah untuk saya mencapai anugerah ini.

“Selain itu tajuk usul yang agak sukar selari dgn isu semasa menjadi satu cabaran yang terpaksa saya tempuhi sebelum sampai ke peringkat ini,” kata pelajar Semester 3, Sarjana Muda Undang-undang itu.

Bagaimanapun, beliau tetap gembira dengan pengiktirafan diberikan dan berterima kasih kepada ibu bapa, rakan sepasukan, jurulatih dan keluarga besar Unit Debat Bahasa Melayu kerana sentiasa ada bersamanya.

Faris Daniel berkata, pasukannya layak ke peringkat suku akhir dalam pertandingan tersebut, namun gagal mara ke peringkat seterusnya apabila tewas di tangan pasukan debat dari UPNM.

Walau bagaimanapun, tambahnya, beliau sangat bersyukur atas peluang dapat mewakili UUM ke pertandingan tersebut dan penerimaan anugerah itu juga menjadi pendorong kepadanya untuk terus memantapkan gaya perdebatan pada masa hadapan.

Selain Faris Daniel, pasukan debat UUM itu turut diwakili pelajar Sarjana Muda Undang-undang iaitu Muhammad Tirmizi Rabidin, Farah Aulia Ahmad Sanusi dan Nadjween Hanie Mohd Mayan.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan merakamkan ucapan tahniah kepada pendebat UUM yang berjaya mengharumkan nama universiti dalam pertandingan tersebut.

“Jadikan kemenangan ini sebagai inspirasi kepada pelajar lain untuk mencapai kejayaan dalam apa juga pertandingan yang disertai.

“Buktikan bahawa pelajar UUM bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malahan mampu menyerlah dalam kegiatan kokurikulum seperti debat ini,” katanya.

Sebanyak 85 pasukan mewakili 19 universiti awam dan empat institusi pengajian tinggi swasta mengambil bahagian dalam Pertandingan Debat Diraja Antara IPT tahun ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com