Sunday, 28, April, 2024
Utama Sukan KDA, KL City kekal beraksi di Liga Super

KDA, KL City kekal beraksi di Liga Super

oleh Ammar Haziq

Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang sebelum ini mengalami masalah gaji kekal beraksi di Liga Super 2024-2025 selepas komitmen tinggi yang ditunjukkan untuk menyelesaikannya dengan segera.

Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, KL City baharu sahaja mengalami perubahan pengurusan peringkat tertinggi dan Penaung KL City,Fahmi Fadzil menerusi laporan media sebelum ini telah tampil menyatakan untuk menyelesaikan urusan gaji tertunggak dengan segera.

Menurutnya, FIB juga telah menerima surat rasmi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bersetuju menyalurkan sumbangan bagi menyelesaikan bayaran tunggakan gaji KL City bagi tahun 2023 sebelum akhir Mac 2024.

“Manakala bagi KDA FC, kelab itu telah menyerahkan bukti pembayaran sejumlah RM 600,000 sebagai bayaran sebahagian tunggakan gaji semasa bagaimanapun ia tidak mematuhi bayaran 50 peratus jumlah tunggakan gaji seperti ditetapkan FIB.

Namun begitu, FIB telah menerima bukti kewangan sumber dana yang akan diterima KDA FC dalam masa terdekat,” katanya pada Rabu.

Tegas Sheikh Mohd Nasir, walaupun FIB memberi ruang untuk KL City dan KDA FC menyelesaikan tunggakan gaji atas komitmen tinggi kedua-dua kelab itu namun FIB bersedia untuk mengenakan tindakan ke atas kedua-dua kelab itu untuk memastikan pematuhan kepada arahan FIB dihormati dan dipandang serius.

Tambahnya, sekiranya KL City dan KDA FC gagal menyelesaikan kesemua jumlah tunggakan gaji berkenaan pada tarikh kedua 30 Mac 2024, hukuman pemotongan tiga mata bagi saingan Liga Super musim 2024-2025 dan denda sebanyak RM 50,000 akan dikenakan dengan serta merta berdasarkan kepada Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023 “Article 2.4 (c) Licensing Sanctions”.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com